Kelas agama anak Orang Asli

Kelas agama anak Orang Asli

GUA MUSANG 12 Okt. – Mengikut anggaran sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jaringan Kampung Orang Asal Kelantan, kira-kira 21,000 Orang Asli yang terdiri daripada suku kaum Temiar, Mendrik, Jahai dan Batek mendiami 70 kampung di kawasan pedalaman daerah ini.

Masyarakat Orang Asli hidup secara harmoni dan sederhana dengan mengamalkan agama Islam, Kristian serta agama adat orang asal.

Bagi yang beragama Islam, kebajikan mereka diberikan perhatian yang penuh oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Ne­geri Kelantan (JHEAIK) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Dakwah melalui pendidikan diberikan kepada masyarakat Orang Asli selepas mereka memeluk agama Islam.

Setiap tahun hampir 200 pelajar Orang Asli di daerah ini menyertai kursus mingguan saudara baharu yang dianjurkan oleh Maik dengan kerjasama Pejabat Pendidikan daerah dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Kursus yang diadakan setiap hari minggu itu bertujuan memberi pendedahan kepada golongan mualaf yang baharu memeluk Islam supaya mereka memahami aktiviti harian yang perlu dipatuhi sebagai seorang Muslim.

Antara pengisian program ialah kursus dakwah dan kelas asas Far­dhu Ain yang dibimbing oleh guru agama bertauliah di Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra di sini.

Guru agama, Nur Hasidah Harun berkata, kursus yang berlangsung setiap hari Jumaat bermula pukul 9 pagi sehingga 3 petang itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar Orang Asli.

Katanya, bagi memberi kefahaman menyeluruh kursus agama secara praktikal didedahkan kepada pelajar seperti berwuduk, menunaikan solat serta membaca al-Quran.

“Kursus ini melibatkan pelajar Orang Asli dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indra Petra 1, SMK Tengku Indra Petra 2 dan SMK Sri Wangi.

“Kami melihat pelajar mualaf ini berminat untuk belajar tentang Islam walaupun ada antara mereka mengambil masa beberapa bulan untuk memahami ilmu yang diajar secara sepenuhnya,” katanya di sini baru-baru ini.

Sementara itu, peserta bersyukur apabila berpeluang menyertai kursus untuk memantapkan ilmu agama Islam yang baru dianuti mereka.

Pelajar SMK Sri Wangi, Nurul Khadijah Rosli, 17, dari Kampung Kuala Betis yang memeluk Islam pada tahun 2013 bersyukur apabila diberi hidayah oleh Allah untuk menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim.

“Perasaan saya cukup seronok apabila menyertai kursus ini ke­rana sebelum ini saya tidak pernah mengikuti kelas sebegini.

“Setelah hampir dua tahun saya mengikuti kursus ini, saya lebih memahami hukum berkaitan agama Islam,” katanya.

Seorang lagi peserta, Azizan Ahong, 18, yang berasal dari Pos Pulat pula berkata melalui kursus ini dia dapat meningkatkan kefahamannya mengenai agama Islam.

“Ketika mula-mula menyertai kelas ini saya cuba menghafal surah sedikit demi sedikit dengan bim­bingan guru. Kini saya sudah dapat membaca al-Quran dan boleh mengajar kawan-kawan lain.

“Saya bercita-cita untuk me­nyambung pengajian ke sekolah tahfiz selepas ini bagi memperkemaskan lagi bacaan surah,” katanya.

Nor Zulaika Nubi Zulkifli, 16, dari Pos Hendrop pula berterima kasih kepada Maik yang menganjurkan program kerohanian untuk masyarakat Orang Asli.

“Program ini dijalankankan secara santai dan suasana penuh kekeluargaan.

“Terima kasih kepada Maik kerana menganjurkan program bermanfaat kepada masyarakat asli. Kami berharap program sebegini akan diteruskan untuk tahun seterus­nya,” katanya.

Sumber : utusan.com.my

Categories: Arkib Berita

About Author

Write a Comment

Only registered users can comment.