Festival Islam Negeri Kelantan 1445H/2023M

Festival Islam Negeri Kelantan 1445H/2023M

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) telah mengadakan Festival Islam Negeri Kelantan 1445H/2023M (Khamis – Ahad) di Dewan Besar Sultan Ismail Petra, Balai Islam Lundang pada 19-22 Oktober 2023. Program ini merupakan program tahunan yang menggabungkan kerjasama pintar di antara JAHEAIK dengan agensi-agensi lain yang berkaitan dan merupakan satu usaha berterusan untuk menyampaikan dakwah dalam bentuk yang lebih berinovasi dan terbuka, agar ianya dapat diterima oleh masyarakat secara keseluruhan.

Antara aturcara program ialah, hari pertama telah diadakan Forum Keluarga Mawaddah yang menampilkan Imam Muda Hassan Adli, Ustazah Nazirah bt Abu Bakar, Pegawai Hal Ehwal Islam JAKIM sebagai ahli panel. Manakala moderator : AF Ustaz Mohd Fadli b. Sulaiman, Pegawai Agama Jajahan Kota Bharu pada pukul 9.00 pagi. Seterusnya pada jam 2.30 petang disambung dengan program Bicara Agama bersama Pendakwah Selebriti yang menampilkan Datuk Dr. Ustazah Nor Hafizah Musa, Ustaz Azil Yaakob, Ustaz Syakirin Yuslan. Selanjutnya program hari pertama ditutup dengan Forum Hal Ehwal Islam bersama Ustaz dan Selebriti pada pukul 9.00 malam oleh Dato’ Dr. Abd Basit, Ustaz Amin Idris, Pn. Wany Hasrita.

Pada hari kedua, dimulakan program dengan Mari Bertadabbur Surah al-Sajdah bersama Institusi Pondok Negeri Kelantan oleh Ustaz Abdul Baari bin Abdullah, Ustaz Abdullah bin Hussin dan Tuan Guru Azrihisham A Rahman pada pukul 9.00 pagi dan disambung dengan Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak pada pukul 2.30 petang. Pada malamnya pulak merupakan malam kemuncak pertama festival iaitu Malam Kesenian Islam: Dikir Dakwah, Nasyid yang menampilkan artis-artis tempatan Kelantan iaitu Shaq Mentor, Hasnul Hassan, Megat Haikal, Ryan Rzyqy, Fendi Kenali, Den Manja, Sop Santana, Emie Sukmasari, Hazwan Rahman dan Isey Arjuna yang diadakan di Dewan Besar Sultan Ismail Petra.

Pada hari ketiga, diadakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Madrasah Membina Generasi al-Quran(MGQ) Negeri Kelantan pada pukul 9.00 pagi di Dewan Abu Bakar, Kompleks Balai Islam Lundang. Selain itu, diadakan juga pada waktu yang sama Pertandingan Perlumbaan ” Hot Wheels” Negeri Kelantan di dalam Dewan Besar Sultan Ismail Petra dan seterusnya pada pukul 2.30 petang program disambung dengan Ceramah Khas Bersama Aman Palestin “Solidariti #Taufan Bangkit Menghancurkan” oleh Pn Finaz Yunus di dewan yang sama. Selanjutnya yang merupakan Malam Terakhir Kesenian Islam dengan tema “Kasih Padamu Ya Rasulullah SAW” ditampilkan artis terkenal tanah air iaitu Hafiz Hamidun dengan digandingkan dengan Kumpulan Grand Nada dan Shoutul Muhammadi pada pukul 9.00 malam.

Pada hari keempat yang merupakan hari terakhir festival diadakan Bual Bicara “ Cakna Muamalat, Elak Scammer “ oleh Dr. Abdul Rahman bin A Shukor, Penasihat Syariah Institusi Kewangan dan Dr. Ahmad Sufian bin Che Abdullah, Pensyarah Kanan Jabatan Syariah dan Pengurusan Akademi Islam Universiti Malaya sebagai ahli panel. Manakala moderator oleh Dr. Mohamad Hilmie bin Mat Daud, Pen.Pengarah Kanan Bahagian Dakwah, JAHEAIK di Dewan Besar Sultan Ismail Petra pada pukul 9.00 pagi. Di samping itu, pada waktu yang sama diadakan juga Muzakarah Jentera Daie Negeri Kelantan oleh AF Ustaz Mohd Fadli b. Sulaiman, Pegawai Agama Jajahan Kota Bharu dan Ustaz Abdul Rahman b. Mat Sulaiman, Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Orang Islam Kelantan di Dewan Abu Bakar Balai Islam.

Selain itu, antara aturcara harian sepanjang festival ini berlangsung ialah dengan pembukaan Gerai Jualan Makanan & Produk Usahawan, Gerai Jualan Saudara Kita, Pemeran Agensi Kerajaan, Kempen Derma Darah dan Pemeriksaan Kesihatan.

Categories: Arkib Berita

About Author

Write a Comment

Only registered users can comment.