Kerajaan Pusat komited sokong enakmen syariah

Kerajaan Pusat komited sokong enakmen syariah

KOTA BHARU 19 Ogos – Kerajaan Pusat komited menyokong hasrat Kerajaan Pas Kelantan untuk me­laksanakan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pin­daan 2015).

Pada masa sama, Kerajaan Pusat akan berusaha membantu kerajaan negeri ini dalam mempercepatkan pembentangan rang undang-undang persendirian membabitkan pindaan Akta Mahkamah Syariah 1965 (Akta 355) di Dewan Rakyat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu sememangnya diberikan perhatian serius oleh Kerajaan Pusat serta pucuk kepemimpinan UMNO dan usaha ke arah itu telah dilakukan secara berperingkat.

“Antara perkara terawal yang diamanahkan oleh Menteri di Ja­batan Perdana Menteri kepada saya adalah membantu usaha Kerajaan Pusat dan negeri bagi memastikan segala proses pelaksana­an Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) dapat diteruskan serta dilaksana dengan sebaiknya.

“Usaha ini juga selaras dengan iltizam dan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri. Kita tidak boleh patah ke belakang lagi apabila segala usaha termasuk mengadakan kerjasama dengan kerajaan negeri dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerah­an sumbangan RM30,000 kepada Jabatan Hal Ehwal Islam Kelantan (Jaheik) di Kompleks Balai Islam Kelantan di Lundang di sini hari ini.

Penyerahan sumbangan melalui dana Tabung Ihsan Pemulihan Masjid Banjir Kelantan yang akan digunakan untuk membeli mesin pelupusan al-Quran rosak itu dise­rahkan oleh Asyraf Wajdi kepada Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Pe­nerangan dan Hubungan Serantau negeri, Dr. Yusnan Yussof sambil disaksikan oleh Pengarah Jaheik, Datuk Che Mohd. Rahim Jusoh.

Asyraf Wajdi yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata, rang undang-undang persendirian itu dijangka dibentangkan dalam tempoh terdekat selepas semua agenda dan urusan kerajaan selesai.

Pada masa sama katanya, segala proses dan gerak kerja melibatkan kerjasama Pusat dan negeri melalui Jawatankuasa Teknikal Hudud Peringkat Pusat berjalan dengan sempurna.

“Komitmen di peringkat kepemimpinan tertinggi untuk melihat pelaksanaan undang-undang Islam itu cukup jelas.

“Jawatankuasa yang ditubuhkan ini juga beberapa kali mengadakan perbincangan bagi memastikan segala gerak kerja berjalan dengan lancar. Kita harap semua usaha ini akan dipermudahkan,” katanya.

Sumber : utusan.com.my

Categories: Arkib Berita

About Author

Write a Comment

Only registered users can comment.