Lima tonggak kecemerlangan

Lima tonggak kecemerlangan

KOTA BHARU 27 Feb. – Semua agensi di bawah pentadbiran kerajaan negeri diminta mengguna pakai lima tonggak atau teras Pelan Strategik Pembangunan Modal Insan dan menjadikannya panduan dalam setiap gerak kerja yang dilakukan.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah, tonggak tersebut adalah faqihin, aminan, rahiman, ilman dan salaman.

“Harapan beta agar konsep faqihin, aminan, rahiman, ilman dan salaman ini dapat dijadikan panduan dalam bentuk gerak kerja untuk dilaksanakan dalam masyarakat di semua tempat termasuk di luar Kelantan dan luar negara.

“Mudah-mudahan dengan mengamalkan lima tonggak ini, kerja-kerja kita akan menjadi lebih baik dan berkesan serta akan dinilai sebagai ibadat di sisi Allah SWT,” titah Sultan Muhammad V semasa merasmikan Wacana Keputeraan baginda di Balai Islam Lundang di sini, hari ini.

Wacana dua hari bertema Model Masyarakat Bertakwa itu dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) dan turut disertai peserta dari Indonesia, Brunei dan Thailand.

Turut berangkat ke program tersebut ialah Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra yang turut berkenan menyampaikan titah diraja.

Hadir sama, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Pengarah JHEAIK, Datuk Che Mohd. Rahim Jusoh.

Dalam titah ucapan tersebut, Sultan Muhammad V turut menyatakan, selaku ketua agama Islam di negeri ini, baginda begitu komited untuk mengangkat martabat umat Islam dan melihat agama Islam diamalkan sepenuhnya oleh masyarakat khususnya rakyat Kelantan.

Sehubungan itu, baginda melahirkan rasa gembira kerana wacana tersebut diadakan bagi mencari satu formula terbaik agar dapat membangunkan masyarakat Islam dengan budaya Islam yang unggul menggunakan lima tonggak berkenaan.

Sumber : utusan.com.my

Categories: Arkib Berita

About Author

Write a Comment

Only registered users can comment.