Sifar tangkapan ponteng puasa

Sifar tangkapan ponteng puasa
KOTA BHARU – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) menyasarkan sifar tangkapan bagi kes ponteng puasa di negeri ini sepanjang Ramadan nanti.
Pengarahnya, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berkata, walaupun ia kelihatan sukar namun pelbagai usaha dilakukan termasuk memperkasakan program pendidikan untuk memberi kesedaran kepada umat Islam.
“Selain maklumat awam, kita juga menggerakkan pegawai penguat kuasa, insya-ALLAH bersama-sama untuk memastikan umat Islam tidak melakukan kemungkaran dan menghormati bulan Ramadan nanti,” katanya pada sidang media Festival Islam 1436 H di sini, semalam, yang turut dihadiri  Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jaheaik, Mohd Farid Abdul Razak.
Tanpa menyebut jumlah tangkapan dilakukan bahagian penguat kuasa Jaheaik pada tahun lalu, Che Mohd Rahim memberitahu,  tanggungjawab untuk menutup ruang ponteng puasa juga dipikul oleh masyarakat.
“Oleh itu, saya ingin menasihatkan supaya peniaga juga memainkan peranan dengan mematuhi waktu jualan dibenarkan dan akur terhadap peraturan ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.
Mengulas mengenai Festival Islam 1436 yang berlangsung pada 8 hingga 10 Jun di KB Mall, Che Mohd Rahim berkata, ia dianjurkan sebagai platform dakwah kepada golongan remaja di negeri ini bagi menangani gejala sosial.
“Generasi muda perlu didekati dengan pelbagai cara, seiring perubahan masa. Jadi, sepanjang festival berlangsung, terdapat 17 acara yang menepati cita rasa remaja disediakan sebagai dakwah kepada mereka,” katanya.
Tambahnya, menyedari  peranan remaja penting untuk bersama-sama mengimarahkan aktiviti dakwah, pihaknya menyasarkan1,000 remaja bakal menyertai e-Sabahat Jaheaik yang berperanan menggerakkan aktiviti dakwah melibatkan golongan tersebut.
“Setakat ini kita mempunyai 300 remaja yang telah berdaftar sebagai ejen dakwah untuk bersama-sama jabatan berganding bahu menyertai pelbagai program pendidikan bagi mengurangkan berlakunya kes jenayah syariah,” katanya.
Sementara itu, Mohd Farid berkata, gejala sosial membabitkan remaja di negeri ini masih terkawal dan Jaheaik memainkan peranan merancakkan lagi aktiviti pendidikan selari dengan saranan kerajaan, Kelantan Melangkah Ke Hadapan.
Categories: Arkib Berita

About Author

Write a Comment

Only registered users can comment.