KOTA BHARU-Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) kini berusaha untuk menambah baik artikel keluaran jabatan bagi mengkomersialkan bahan bacaan berunsurkan agama secara meluas.
Pengarahnya, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berkata, pihaknya merancang untuk menerbitkan 105 judul artikel jabatan secara jurnal menerusi kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Menurutnya, usaha tersebut juga diadakan untuk memastikan artikel yang dihasilkan oleh jabatan dapat dijenamakan semula dalam edisi lebih tersusun bagi memenuhi permintaan terhadap bahan bacaan keagamaan.
“Sekarang ini kerjasama dimulakan dengan satu judul buku yang terbaru untuk diteliti oleh DBP menggunakan kepakaran mereka kerana mereka lebih berkemampuan dari segi penyusunan bahasanya.
“Jabatan mendapati pemilihan bahan bacaan keagamaan ini adalah tinggi, jadi usaha ini adalah salah satu pendekatan supaya buku-buku ini banyak diterbitkan di pasaran,” katanya kepada media kelmarin selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Jaheaik dengan DBP.
MoU itu dimeterai sempena Wacana Keputeraan Sultan Muhammad V yang berlangsung selama dua hari bermula Isnin lalu dihadiri lebih 500 penyertaan melibatkan ketua jabatan, penuntut universiti dan ketua pemimpin masyarakat.
Hadir sama pada program itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim; Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan dan Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Abdul Khalik Sulaiman.
Sementara itu, Awang menyambut baik hasrat tersebut dan setakat ini pihaknya menerima satu judul terbitan sahaja dari Jaheaik untuk penjenamaan semula menggunakan kepakaran DBP.
“Kita mengakui penerbitan buku keagamaan ini mempunyai pasaran yang sangat luas berdasarkan persidangan dan juga pameran-pameran dihadiri di peringkat antarabangsa.
“Menerusi pendekatan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri dan Jaheaik ini tidak mustahil bahan-bahan bacaan ini dapat diterbitkan dalam pelbagai bahasa dengan hasrat memenuhi permintaan pasaran,” katanya.
Sumber : sinarharian.com.my
About Author
Write a Comment
Only registered users can comment.