MAJLIS PELANCARAN BENGKEL TOT TENAGA PENGAJAR SHARIAH LIFE : TAHSIN AL- FATIHAH DAN SOLAT AGENSI 2026
Alhamdulillah, Majlis Pelancaran Bengkel TOT Tenaga Pengajar Shariah Life: Tahsin al-Fatihah dan Solat Agensi 2026 telah dilaksanakan pada 9 Jun 2026 (23 Zulhijjah 1447H) bertempat di Ibis Styles Hotel, Kota Bharu, bermula jam 8.30 pagi hingga 1.00 petang. Program anjuran Bahagian Dakwah JAHEAIK dengan kerjasama Pusat Tarannum Al-Quran Negeri Kelantan ini telah disertai seramai 95 orang peserta yang terdiri daripada tenaga pengajar yang dilantik, urusetia dan jemputan.
Program dimulakan dengan pendaftaran peserta dan diteruskan dengan sesi Ijazah Bacaan Surah al-Fatihah dan at-Tahiyyat yang disampaikan oleh YBrs. Tuan Sheikh Al-Qura’ Hesham Abdel Bary Mohamed Rageh. Seterusnya, peserta mengikuti pembentangan Modul Tahsin al-Fatihah dan Solat Agensi oleh YBrs. Ustaz Ahmad Zamzami bin Che Daud, diikuti taklimat pelaksanaan program oleh YBrs. Ustaz Suratemi bin Mat Yusof.
Majlis pelancaran kemudiannya disempurnakan dengan bacaan doa dan alunan ayat suci al-Quran, ucapan alu-aluan oleh YBrs. Dr. Anuar Al-Sadat bin Haji Noor serta ucapan perasmian oleh YABrs. Dr. Hasnan bin Haji Ramli, Pengarah JAHEAIK. Program diakhiri dengan jamuan makan tengah hari.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan melalui penyediaan tenaga pengajar yang lebih kompeten, penyelarasan modul dan kaedah pengajaran serta peningkatan kefahaman berkaitan bacaan al-Fatihah dan at-Tahiyyat yang sahih. Program ini turut menjadi langkah penting dalam memperluas pelaksanaan Shariah Life: Tahsin al-Fatihah dan Solat secara sistematik dan berterusan di agensi-agensi kerajaan Negeri Kelantan.
Related Articles
Write a Comment
Only registered users can comment.










