JAHEAIK perkasakan mualim

JAHEAIK perkasakan mualim

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD

INSIDEN keguguran anak tidak menjadi penghalang kepada seorang tenaga pengajar (mualim) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Rosnida Che Din, 31, untuk meneruskan kerja dakwahnya di penempatan Orang Asli di Gua Musang.

Ibu kepada dua orang anak perempuan berusia empat tahun dan setahun itu keguguran pada bulan puasa tahun lalu akibat mengangkat pintu surau selepas kelas fardu ain di Pos Lojing-Mendrop.

“Saya tidak tahu saya mengandung hanya selepas berlaku tumpah darah selepas balik kelas, barulah saya sedar sebenarnya saya di peringkat awal kehamilan.

“Bagaimanapun saya anggap ia sebagai ujian yang harus ditempuh seorang pendakwah kerana Allah mahu melihat setakat mana kita mahu bersabar menyampaikan risalah-Nya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Rosnida ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Kursus Asas Pengurusan dan Dakwah serta Penyampaian Kit Alat Bantu Dakwah kepada mualim JHEAIK di Kompleks Islam Lundang, baru-baru ini.

Pada majlis itu, alat bantu terdiri daripada set pengurusan jenazah, motosikal, mesin rumput, generator elektrik, pam air, komputer riba dan projektor kesemuanya bernilai kira-kira RM50,000 telah disampaikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Muhamad Mustafa.

Rosnida berkhidmat sebagai mualim Orang Asli bersama suaminya, Mohd. Shukri Mohd. Nawi, 29, sejak 2009 setelah mengutip pengalaman beberapa tahun sebelum itu sebagai guru sekolah agama harian.

Lulusan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan dari Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) itu berpendapat, dia telah memilih medan yang tepat untuk mempraktikkan apa yang dipelajari sewaktu mengambil keputusan mengikut suaminya yang menjadi mualim setahun awal daripadanya.

Selain Rosnida, dua lagi tenaga pengajar perempuan yang telah memulakan tugasan di Gua Musang pada Mac lalu iaitu Wan Kamariawati Wan Mohd. Fakri, 29, dan Nurul Hidayah Ismail, 24.

“Masalah infrastruktur yang kurang lengkap seperti terpaksa bergantung kepada generator untuk bekalan elektrik dan faktor bahasa adalah perkara lumrah yang terpaksa ditempuh mereka yang berkhidmat di pedalaman. Semua itu perlu dilalui dengan penuh kesabaran.

“Buat masa sekarang terdapat 11 keluarga suku kaum Temiar di kawasan saya sudah beragama Islam. Tanggungjawab sebagai mualim adalah mendidik dan memastikan kebajikan mereka sebagai saudara Islam tidak terabai,” katanya.

Nurul Hidayah yang masih bujang ketika ditemui berkata, walaupun terpaksa tinggal jauh di pedalaman, beliau teruja untuk mengajar pengajian agama Islam kepada Orang Asli kerana sukakan cabaran baru.

Sebelum ini dia mengajar kelas fardu ain di Kota Bharu selama setahun sebaik menamatkan pengajian di Institut Agama Islam Negeri (IAIN), Medan, Indonesia pada hujung 2010.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi JHEAIK, Salleh Mat Jusoh berkata, setakat ini pihaknya mempunyai 18 mualim termasuk tiga perempuan di lima buah penempatan Orang Asli di Gua Musang iaitu Pos Balar, Pos Tuel, Pos Pasik, Pos Lojing dan Pos Hau dan merancang untuk menambah tenaga pengajar di dua buah lagi penempatan iaitu di Pos Simpur dan Pos Ladoi dalam masa terdekat.

“Penempatan mualim secara sepenuh masa ini kita laksanakan sejak 2007 yang bertugas selama tiga minggu setiap bulan untuk mendampingi dan mengajarkan agama Islam kepada Orang Asli.

“Sehingga kini terdapat 4,300 Orang Asli yang beragama Islam daripada keseluruhan lebih 14,000 orang dan peranan kita adalah untuk memantau agar pemahaman agama Islam mereka terus kukuh,” katanya.

About Author

Write a Comment

Only registered users can comment.