KITA sering membaca Surah Al-Faatihah ini berulang kali dan setiap kali kita mengerjakan solat, sama ada solat fardhu mahupun solat sunat. Allah SWT juga mengatakan Surah Al-Faatihah ini sebagai 7 ayat yang berulang-ulang dan mesti diulang-ulang sepertimana dalam firman Allah SWT menerusi Surah Al-Hijr ayat 87 yang bermaksud : Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya.
Pada minggu lalu, menerusi segmen Ibrah yang bersiaran di IKIMfm pada setiap Isnin, 5.15 petang, Ustaz Muhammad Syaari Ab. Rahman berkongsi tentang dahsyatnya Surah Al-Faatihah.
Allah SWT menyebut mengenai Surah Al-Faatihah ini di dalam Surah Al-Hijr dan kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW perlu sentiasa mengetahui dan belajar dengan guru mengenai sebab surah itu diturunkan dan bagaimana keadaan Rasulullah SAW ketika surah itu diturunkan.
Menurut para ulama tafsir, mereka mengatakan maksud di sebalik ayat 87 Surah Al-Hijr itu seolah-olah menggambarkan Surah Al-Faatihah tidak bersama-sama di dalam Al-Quran. Tetapi sebaliknya, ia bersama-sama di dalam Al-Quran dan dipisahkan ayat itu kepada dua cerita berbeza untuk menyatakan kehebatan Surah Al-Faatihah ini mengatasi surah-surah lain yang terkandung di dalam Al-Quran.
Sesiapa yang mengkaji Surah Al-Faatihah, ia sudah cukup untuk kita memahami keseluruhan isi kandungan Al-Quran. Isi kandungannya telah merumuskan tentang Islam. Ia seperti pohon Islam yang lengkap dengan akar, dahan, buah dan ranting.
Apabila kita melihat Surah Al-Faatihah itu sendiri, ia benar-benar merumuskan tentang Islam. Ustaz Syaari mengajak kita melihat bagaimana pohon Islam yang berada di dalam Surah Al-Faatihah. Islam ini wujudnya akidah sebagai akar kepada pokok Islam. Akidah ini ialah mengenal dan mengiktiraf Allah SWT. Proses akidah ini seperti yang tercatat di dalam Surah Al-Fatihah ayat 2 – 4 yang bermaksud : Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat).
Manakala batang pokok Islam sebagai tempat kita bersandar iaitu ibadah adalah merujuk kepada ayat 5 Surah Al-Fatihah yang bermaksud : Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Selebihnya, ayat 6 dan 7 menggambarkan tentang daun, buah dan ranting sebagai teduhan kita yang merumuskan keseluruhan tentang Al-Quran.
Inilah yang disebut di dalam Surah Al-Hijr sebagai 7 yang berulang-ulang. Selepas disebut mengenai 7 yang berulang, kemudian disebut pula Kami telah kurniakan kepada kamu dahulu, Al-Quran itu sendiri. Maka, dapatlah kita fahami, Allah SWT mengangkat martabat Surah Al-Fatihah setelah bertahun-tahun Allah SWT turunkan Surah Al-Fatihah itu sendiri. Para ulama yang mengkaji Surah Al-Hijr, surah ini turun ketika Rasulullah SAW telah hampir 12 tahun berjuang di Makkah.
Surah Al-Hijr ini turun ketika Rasulullah SAW dan para sahabat berada dalam keadaan tertekan. Apabila dilihat susunannya ialah selepas 4 surah lain seperti Surah Ibrahim, Yusuf, A-Ra’d, Huud yang juga turun ketika10 tahun Rasulullah SAW menyampaikan dakwah Baginda kepada kaum Quraisy dengan pelbagai kaedah tetapi Quraisy melawan dengan bermacam bentuk sehinggakan ada usaha untuk membunuh Rasulullah SAW.
Allah SWT mahu menyampaikan kepada Rasulullah SAW melalui apa yang disebutkan di dalam Surah Al-Hijr ayat 87 ini, sekalipun pelbagai ujian dan dugaan yang datang kepada Rasulullah SAW, Allah SWT telah hadiDahsyatnya Surah Al-Faatihah
rkan sesuatu yang lebih daripada apa yang Quraisy perolehi. Iaitu Allah SWT hadirkan surah Al-Fatihah agar Nabi Muhammad SAW dapat benar-benar menghayati dan Allah SWT berpesan kepada Nabi Muhammad SAW agar peganglah dengan 7 ayat surah Al-Fatihah ini agar Baginda menjadi lebih kuat dan bersemangat.
Menariknya, apabila kita baca dan hayati awal Surah Al-Hijr dan akhirnya, ia menggambarkan tentang pemeliharaan. Kita akan menjumpai mengenai pemeliharaan Al-Quran dan jaminan Allah SWT Al-Quran akan terpelihara. Manakala kita sebagai manusia, apabila kita mahu pelihara Al-Quran ini, kita seharusnya perlu pelihara juga bacaan Al-Faatihah kita. Betul tajwidnya dan sebutannya serta faham apabila kita membaca Surah Al-Faatihah.
Allah SWT bagi petunjuk melalui Surah Al-Hijr kepada Rasulullah SAW bahawasanya Kami turunkan kepada Nabi Muhammad SAW 7 ayat ini dan apabila kamu membacanya, maka Kami akan pelihara kamu daripada gangguan syaitan dan juga daripada terkesan dengan perbuatan-perbuatan orang-orang yang tidak senang. Allah SWT akan pelihara iman kita dengan kita percaya dan membaca Surah Al-Faatihah ini.
Ini disebutkan di dalam Surah Al-Hijr ayat 95 yang bermaksud : Sesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu dari kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu, –
Maka sesiapa yang ingin mendapatkan pemeliharaan Allah SWT, bacalah surah Al-Hijr serta baca Surah Al-Faatihah yang turut disebutkan di dalam Surah Al-Hijr. Menerusi Surah Al-Hijr ini Allah SWT tunjukkan satu persatu bagaimana Allah SWT memelihara sama ada memelihara alam mahupun manusia.
Surah Al-Faatihah ertinya pembukaan. Kita tidak boleh membuka khazanah terhebat di dalam Al-Quran selagi kita tidak membuka dan menghayati Surah Al-Faatihah. Seolah-olah ia kata laluan untuk memahami isi kandungan dan matlamat Al-Quran. Maka, masukkan kata laluan itu dan selamat menyelami dan mengembara khazanah Al-Quran yang sangat dahsyat. Kalam Allah SWT kepada Rasulullah SAW melalui Jibril selama 23 tahun. Segalanya mesti bermula dengan matlamat penurunan Al-Quran. Itulah Surah Al-Faatihah yang menerangkan apa yang terkandung di dalam keseluruhan Al-Quran.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 26 April 2016Faiz Hj. Othman
Merupakan penyampai di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Maulid @ IKIMfm, Salam IKIMfm dan banyak lagi.
About Author
Related Articles
Write a Comment
Only registered users can comment.