KOTA BHARU – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik) hari ini mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kepada semua umat Islam khususnya jemaah haji dari Kelantan yang sedang menunaikan ibadat haji di Makkah.
Pengarahnya, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berkata solat hajat yang disertai 70 kakitangan jabatan itu juga adalah tanda kasih sayang kepada saudara seagama di seluruh negara.
“Memandangkan jemaah haji kita ditimpa kemalangan di Makkah pada Jumaat lepas, kita harap semua umat Islam memberi kasih sayang dengan mendoakan keselamatan mereka sepanjang berada di Tanah Suci,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Solat Hajat itu di Kompleks Islam Darul Naim di sini, hari ini.
Dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram pada Jumaat lepas, lebih 100 jemaah haji terkorban, manakala beratus lagi cedera.
Sepuluh jemaah haji Malaysia turut tercedera dalam tragedi berkenaan, manakala lapan lagi jemaah dilaporkan gagal dikesan sehingga hari ini.
Che Mohd Rahim berkata, kejadian yang menimpa jemaah haji dan kesedihan anggota keluarga yang terlibat turut dirasai semua pihak.
“Kita doakan supaya mereka semua selamat, dapat menunaikan ibadat haji dengan sempurna dan mendapat haji yang mabrur,” katanya.
Che Mohd Rahim turut mengharapkan anggota keluarga jemaah haji terbabit dapat bertenang dan menerima kejadian tersebut sebagai ujian Allah yang mengandungi hikmah tersendiri.
Beliau berharap semua masjid di seluruh negeri ini dapat sama-sama mengadakan solat hajat dan mendoakan keselamatan semua jemaah haji. – Bernama
About Author
Related Articles
Write a Comment
Only registered users can comment.