🔖Siri 20 : Surah Az-Zumar( 39 : Ayat 53 ) Betapa Kasihnya Allah SWT Kepada Hamba-Hambanya. 💕
Kategori: Tadabbur Al-Quran
Keterangan:

🕋 Setiap kali kita mentadabbur ayat Al-Quran pasti kita akan mempelajari hikmah, nasihat dan pengajaran yang begitu banyak . Segala peringatan yang Allah SWT sebut di dalam Al-Quran sewajarnya menjadi pegangan dan ingatan buat diri kita setiap hari.

🕋 Mulakanlah hari kita dengan membaca Al-Quran walaupun dengan hanya sepotong ayat. Lama-kelamaan kita pasti menjadi orang yang mencintai Al-Quran. 💕..

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ

۞ قُلۡ یَـٰعِبَادِیَ ٱلَّذِینَ أَسۡرَفُوا۟ عَلَىٰۤ أَنفُسِهِمۡ لَا تَقۡنَطُوا۟ مِن رَّحۡمَةِ ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ یَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِیعًاۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِیمُ ﴿ ٥٣ ﴾

“ Katakanlah (Wahai Muhammad); “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani ”.
(Surah Az-Zumar ayat : 53)

🕋 KANDUNGAN AYAT

🍂 Ayat ini ditujukan kepada orang yang telah berbuat syirik atau orang yang telah berbuat dosa.

🍂 Allah S.W.T menyeru dengan bahasa yang paling lembut dan indah di mana Dia tidak menyebut ‘Wahai para pendosa’ atau ‘Wahai orang-orang yang fasik’ tetapi Allah S.W.T menyebut ‘Wahai hamba-hambaKu’. Dapat kita lihat betapa kasihnya Allah S.W.T kepada hamba-hambaNya.

🍂 Allah S.W.T telah memerintahkan Nabi S.A.W untuk menyampaikan pesanan kepada umat manusia, supaya tidak berputus asa dengan rahmat Allah S.W.T.

🍂 Ulama’ Tafsir menyebut bahawa ayat ini adalah ayat yang paling memberi harapan kepada manusia dalam Al-Qur’an.

🕋 PENGAJARAN

🍂 Setiap manusia tidak akan terlepas daripada membuat kesalahan. Disebabkan itu, Allah S.W.T sentiasa membuka ruang supaya kita tidak berputus asa dengan rahmatNya.

🍂 Sebesar mana pun dosa kita, Allah S.W.T pasti akan mengampunkannya. Ketahuilah bahawa rahmat Allah S.W.T meliputi segala-galanya kerana Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

🍂 Kepada mereka yang telah diberikan ujian, janganlah sekali-kali berputus asa dengan Allah ‎S.W.T. Mintalah kepada Allah ‎S.W.T supaya kita dikeluarkan dari masalah itu.

🍂 Perbanyakkan istighfar kerana ia mampu menghapus dosa-dosa kita dan sesungguhnya Allah S.W.T telah membuka pintu harapan kepada hamba-hambaNya supaya kembali kepadaNya.

🍂 Oleh itu, sentiasalah memohon keampunan kepada Allah ‎S.W.T di atas segala dosa yang telah dibuat, termasuklah dosa syirik yang mungkin kita telah lakukan tanpa kita sedar.

#BacaAl-Quran
#FahamiAl-Quran
#AmalkanAl-Quran

📚Rujukan : Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

<< Back