🔖Siri 17 : Surah Al-Israa’ (17 :Ayat 36 ) 🍃Larangan Berbicara Tanpa Ilmu @ Hanya Sangkaan Semata-mata🍃
Kategori: Tadabbur Al-Quran
Keterangan:

🕋 Setiap kali kita mentadabbur ayat Al-Quran pasti kita akan mempelajari hikmah, nasihat dan pengajaran yang begitu banyak . Segala peringatan yang Allah SWT sebut di dalam Al-Quran sewajarnya menjadi pegangan dan ingatan buat diri kita setiap hari.

🕋 Mulakanlah hari kita dengan membaca Al-Quran walaupun dengan hanya sepotong ayat. Lama-kelamaan kita pasti menjadi orang yang mencintai Al-Quran.💕..

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ

وَلَا تَقۡفُ مَا لَیۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡـُٔولࣰا ﴿ ٣٦ ﴾

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”
(Surah Al-Israa’ ayat : 36)

🕋 KANDUNGAN AYAT

🌟 Ayat ini berkenaan larangan membuat kesaksian palsu (dengan mengatakan bahawa kamu melihatnya, padahal kamu tidak melihatnya, atau kamu katakan bahawa kamu mendengarnya, padahal kamu tidak mendengarnya, atau kamu katakan bahawa kamu mengetahuinya, padahal kamu tidak mengetahui).

🌟 Dengan kata lain, Allah S.W.T melarang kita mengikuti sesuatu yang tidak kita ketahui (tanpa ilmu).

🌟 Allah S.W.T memberi peringatan bahawa semua anggota badan akan ditanya oleh-Nya pada hari akhirat kelak tentang apa yang telah diucapkan atau dikerjakan oleh setiap hambaNya.

🕋 PENGAJARAN

🌟 Sesungguhnya, Allah S.W.T melarang berbicara tanpa ilmu, atau berbicara hanya dengan sangkaan semata-mata.

🌟 Jangan kita menuduh atau memberi apa-apa pandangan tentang seseorang yang kita tidak mempunyai pengetahuan berkaitan dirinya.

🌟 Setiap anggota badan akan menjadi saksi dengan apa yang telah diucapkan atau yang dikerjakan dari perkataan dan perbuatan yang dilakukan semasa hidup di dunia.

🌟 Termasuklah dalam situasi ini ialah, apabila seseorang itu menyebarkan, menulis dan berkongsi sesuatu berita yang tidak tepat, salah dan perkara-perkara yang kita tidak mempunyai maklumat yang sahih mengenainya, lalu didedahkan di media-media sosial yang boleh mendatangkan keburukan kepada masyarakat dan agama.

🌟 Oleh itu, seharusnya kita menggunakan nikmat pendengaran, penglihatan dan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada kita ke arah kebaikan dan kebajikan, bukan yang membawa ke arah keburukan dan permusuhan.

#BacaAl-Quran
#FahamiAl-Quran
#AmalkanAl-Quran

📚Rujukan : Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

<< Back