Jomm Mari Pakat Bertadabbur
Setiap kali kita mentadabbur ayat Al-Quran pasti kita akan mempelajari hikmah, nasihat dan pengajaran yang begitu banyak . Segala peringatan yang Allah SWT sebut di dalam Al-Quran sewajarnya menjadi pegangan dan ingatan buat diri kita setiap hari.
Mulakanlah hari kita dengan membaca Al-Quran walaupun dengan hanya sepotong ayat. Lama-kelamaan kita pasti menjadi orang yang mencintai Al-Quran.
..
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
وَٱلَّذِینَ عَمِلُوا۟ ٱلسَّیِّـَٔاتِ ثُمَّ تَابُوا۟ مِنۢ بَعۡدِهَا وَءَامَنُوۤا۟ إِنَّ رَبَّكَ مِنۢ بَعۡدِهَا لَغَفُورࣱ رَّحِیمࣱ ﴿ ١٥٣ ﴾
“Dan orang-orang yang melakukan kejahatan kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan beriman, (maka) sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah Al-A’raaf ayat : 153)
KANDUNGAN AYAT
Ayat ini berkenaan dengan saranan kepada mereka yang melakukan kejahatan, dosa dan maksiat supaya bertaubat dan beriman kepada Allah dengan sebenar-benar keimanan.
Setelah manusia bertaubat dan beriman dengan sempurna, Allah S.W.T memberitahu bahawa Dia Maha Pengampun dan akan mengampunkan segala dosa hamba-hambaNya.
PENGAJARAN
Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat agar Allah S.W.T menerima taubat kita dan memasukkan kita ke dalam syurgaNya.
Selepas bertaubat dengan sebenar-benar taubat, perbaikilah diri untuk menjadi insan yang baik dan patuh kepada perintah Allah S.W.T.
Setiap manusia tidak akan pernah lari dari melakukan dosa, tetapi pendosa yang baik adalah mereka yang menyegerakan taubat dengan sebenar-benar taubat.
Walau sebesar mana dosa kita dengan Allah S.W.T, ingatlah Allah S.W.T itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani, maka mohonlah keampunan dari Nya.
#BacaAl-Quran
#FahamiAl-Quran
#AmalkanAl-Quran
Rujukan : Tafsir Pimpinan Ar-Rahman