Siri Khas : Surah Al-Hajj (22 :Ayat 27 ) Sempena Seruan Ibadah Haji Kepada Umat Islam Seluruh Dunia
Kategori: Tadabbur Al-Quran
Keterangan:

🔖Siri Khas : -Surah Al-Hajj (22 :Ayat 27 )- 🍂Sempena Seruan Ibadah Haji Kepada Umat Islam Seluruh Dunia🍂

🕋 Setiap kali kita mentadabbur ayat Al-Quran pasti kita akan mempelajari hikmah, nasihat dan pengajaran yang begitu banyak . Segala peringatan yang Allah SWT sebut di dalam Al-Quran sewajarnya menjadi pegangan dan ingatan buat diri kita setiap hari.

🕋 Mulakanlah hari kita dengan membaca Al-Quran walaupun dengan hanya sepotong ayat. Lama-kelamaan kita pasti menjadi orang yang mencintai Al-Quran.💕..

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ

وَأَذِّن فِی ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَجِّ یَأۡتُوكَ رِجَالࣰا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرࣲ یَأۡتِینَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِیقࣲ ﴿ ٢٧ ﴾

“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”
(Surah Al-Hajj ayat : 27)

🕋 KANDUNGAN AYAT

🍂 Ayat ini berkaitan Nabi Ibrahim A.S yang diperintah oleh Allah S.W.T untuk mengajak manusia mengerjakan haji ke Baitullah dan seruan ini disambut oleh umat manusia sehingga mereka datang dari segenap penjuru yang jauh sama ada dengan berjalan kaki atau menaiki kenderaan.

🕋 PENGAJARAN

🍂 Haji ialah rukun Islam yang kelima, yang diwajibkan ke atas setiap individu muslim dan muslimah yang berkemampuan sekali seumur hidup.

🍂 Ibadat haji ialah syariat yang dibawa oleh junjungan besar Nabi kita Muhammad S.A.W sebagai penyambung ajaran Nabi Allah Ibrahim A.S dan ianya diwajibkan pada tahun ke-9 Hijrah.

🍂 Seruan haji ini telah disambut oleh umat manusia yang datang ke Mekah dari segala penjuru dunia sama ada jauh dan dekat, pelbagai bangsa, keturunan, dan warna kulit.

🍂 Lafaz talbiah ini “لبيك اللهم لبيك” (Ya Allah, kami penuhi panggilanMu, Ya Allah, kami penuhi panggilanMu) menjadi saksi penerimaan seruan Allah S.W.T kepada kita terhadap panggilanNya.

🍂 Maka, tiada seorang pun yang memeluk agama Islam, melainkan hatinya rindu ingin melihat Kaabah, melakukan tawaf serta mengerjakan segala kerja-kerja haji sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Nabi kita Muhammad S.A.W bersama-sama para sahabat R.A.

(لبيك اللهم لبيك..لبيك لا شريك لك لبيك)

#BacaAl-Quran
#FahamiAl-Quran
#AmalkanAl-Quran

📚Rujukan : Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

<< Back